Wednesday, December 06, 2006

PEMANCAR dan Kuda

PADA 25-26 November 2006 Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Terengganu (PEMANCAR) telah berjaya dalam membantu kelancaran Kejohanan Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge 2006 di Lembah Bidong, Merang, Setiu.

Seramai 50 orang ahli telah terlibat ditugaskan bahagian pelepasan dan penamat, bilik kawalan serta menjaga 24 check point. Sebelum memasuki hutan, bacaan doa selamat telah diketuai oleh En. Mohd Rasidi Al Munir bin Aziz (9W2ICT), Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru Raja.

Kategori yang dipertandingkan iaitu 26km, 40km, 80km dan 160km hendaklah melalui check point yang ditetapkan. Laluan mencabar seperti kawasan hutan, kawasan tepi pantai, kawasan berbukit dan ladang ternakan ayam. Mereka turut melalui kawasan pertanian seperti tembakau, kelapa sawit dan nagasari. 12 Water Point telah disediakan untuk air minuman kuda dan membasah tubuh kuda.

Penyertaan bukan sahaja dari Malaysia tetapi mendapat sambutan peserta dari negara luar seperti Brunei Darulssalam, New Zealand, Belgium, Singapura, Australia, Indonesia dan Amerika Syarikat. Amat dipuji rider (penunggang kuda) kerana mereka sempat bertanya kabar dan berjenaka walau pun dalam keletihan.

Selain ahli kelab perlu mengetahui fungsi radio amatur mereka juga perlu mengetahui tingkah laku kuda yang mudah terkejut. Nasib baik belum ada lagi kuda yang terkejut dan terlatah macam manusia.

Ada kuda yang takut kepada bayang pokok bergerak-gerak. Mungkin ia menyangka binatang. Maka terpaksa ahli kelab membantu menarik kuda tadi melintasi bayang untuk meyakinkannya bahawa tiada apa-apa bahaya. Ada kuda terkejut kerana salah seorang berada di situ menutup pintu kereta dengan kuat. Kuda itu hampir melompat namun sempat dikawal penunggangnya.

Seorang ahli kelab hendak memberi minuman kepada penunggang tetapi kuda itu terkejut dan cuba melarikan diri. Ada juga kuda yang takut pada cahaya pelita yang dipasang di sepanjang jalan laluan. Kemungkinan cahaya berkelip-kelip menyebabkan ia ketakutan.

Check point ke-12 dianggap mencabar sebahagian ahli kelab kerana berhampiran kubur cina di sekitar Bukit Bidung Darat (terdapat juga sebuah kubu tentera dibina pada tahun 1940). Ada beberapa kejadian misteri turut dialami ahli kelab. Namun keseronokan mengatasi ketakutan.

Bilik kawalan radio amatur juga mendapat kunjungan ahli tentera dan pegawai kerajaan datang berbincang tentang sistem komunikasi. Beberapa orang turut berminat dan berdaftar menjadi ahli PEMANCAR.

Kemungkinan besar tugasan lebih berat akan diberi kepada PEMANCAR di Kejohanan Fei World Endurance Championship 2008 di Lembah Bidong, Setiu pada 1-2 Ogos 2008 akan datang. Kejohanan tersebut menawarkan hadiah lumayan sebanyak USD500,000.00.

1 comment:

Anonymous said...

Saya berminat juga pada 'radio' seperti yang kebanyakan orang tertentu menggunakannya. Mengenangkan harganya mahal dan susah nak dapat lesen, terpaksalah bersabar dulu.